Menyemai Ruh 'Idul Adha


Hampir menjadi tradisi, setiap kami di Kampung Usrah lebih suka meraikan Hari Raya Korban di rumah kami berbanding pulang ke kampung. Para menantu dan cucu warga Kampung Usrah juga senang meraikannya di sini berbanding pulang ke kampung masing-masing. Istimewanya kerana kami akan melakukan korban selepas solat hari raya, kemudian kaum lelaki berhempas-pulas 'menumbangkan' lembu sebelum kami sama-sama bertakbir waktu lembu disembelih. Kaum perempuan turut serta menyaksikan selain lebih sibuk bertukar cerita. Almaklum, jarang bertemu.

Kemudian, orang lelaki sama-sama melapah lembu, membahagikan dan kemudian emak dan ayah saya selaku 'tekong' akan keluar mengagih-agihkan daging kepada yang berhak. Orang lelaki kemudiannya akan terus memasak sup gear box. (Ops..bahan rempahnya buatan saya yer..hehe). Sungguh ia jadi acara yang ditunggu-tunggu. Ia cukup untuk memenuhkan hari pertama raya korban. Di Johor, tradisi ziarah menziarahi pada Hari Raya Eidul Adha tidak semeriah seperti di Pantai Timur. Waktu berhari raya di Kelantan satu masa dulu, juga di Syria, saya berkeliling ke rumah-rumah sekitar dari pagi santak ke petang.
Para pemerhati bebas

Di Johor, tidak. Justeru, acara seperti ini, selain menjalankan ibadah korban, memberi ruang dan menggalakkan kami, orang-orang muda menjalankan korban, ia juga medan merapatkan silaturrahim sesama jiran tetangga. Budak-budak muda yang lelaki pun dapat belajar 'menguruskan' lembu seekor dari urusan menyembelih, melapah, menimbang, memasak hingga mengagihkan korban. Emak berpesan supaya kami memulakan azam untuk menjalankan korban. Bukannya mahal pun satu bahagian, kata emak. Tahun ini, rumah saya diwakili abang Luqman saya. Tahun depan...hmmm, harap saya ada rezeki untuk turut serta.Amiin.
Acara melapah lembu nan seekor

Kata emak permintaan untuk ikut serta dalam korban tahun ini meningkat. Lebih dari 7 orang yang membawa ke 2 ekor lembu. Tapi memandangkan kami tidak cukup kakitangan, emak menolak. Mungkin mereka ke tempat lain. Ruh Eidul Adha semakin berkurang tahun ke tahun. Waktu kecil-kecil dulu, saya menyambutnya di Melaka. Terasa sambutannya. Ohh, mungkin kerana saya anak kecil, kegembiraan itu dirasakan bila menerima duit raya waktu berziarah. Eidul Adha itu pada korban dan takbirnya. 4 hari. Itu yang kita masih gagal melaksanankannya dengan penuh penghayatan. Saya berdoa, moga tahun-tahun akan datang, kita akan dapat memenuhi tuntutan hari raya itu.
Baca seterusnya..

Muhasabah Jumaat

لا تيأس. فإن اليأس ليس من أخلاق المسلم
Jangan kamu berputus asa kerna putus asa itu bukan daripada akhlak seorang Muslim.

Ada ketikanya kita merasa sangat penat. Mahu berhenti berlari. Mahu terus tidur dan bermimpi. Tapi kita sedar, perasaan galau, lintasan dan hasutan syaitan itu tidak harus mendampingi perjalanan hidup kita yang singkat tapi masih jauh ini.

Entah kenapa minggu ini benar-benar satu ujian buat saya. Ujian hati yang sedikit berat. Dan entah kenapa juga kesabaran saya terhadap karenah manusia tiba-tiba menunjukkan penurunan yang ketara. Saya paksa juga diri berpura-pura sabar. Tasabbar. Memaksa diri bersabar walaupun saya sebenarnya sudah lelah. Tapi entah, Tuhan juga menghadirkan perasaan yang berwarna-warni . Saya marah. Tapi tak sampai berapa minit, orang yg sama membuatkan saya marah, membuatkan saya gembira. Lalu saya simpulkan ia sebagai suatu yang saya sedari sebagai ‘sayang’. Bila kita menyayangi seseorang, kita akan gembira bila melihat dia gembira. Dan kita akan marah bila dia tak seperti yang kita mahukan. Kerana kita mahu dia selalu jadi yang sempurna dan terbaik di mata kita dan orang lain. Ini hasil kesimpulan saya setelah seminggu diuji dengan hal-hal di rumah sewa dan teman-teman.

Semalam hati saya disentuh, ditegur dengan sangat halus tetapi tajam. Membuatkan saya hilang kata-kata, menahan air mata yang bergenang di ruang mata menunggu masa untuk meluru keluar. Saya tidak mendaftarkan diri untuk ke Training Nuqaba’ memikirkan proposal saya yang masih perlukan perhatian. Kak Su di rumah meninggalkan pesan ustaz yang mahu saya segera menghubunginya. Waktu saya datang mengadap beliau di pejabat, redup wajah ustaz merenung saya. Kenapa Maryam? U are not dealing with main switch now. You are playing with something else. Ini satu penghinaan! Saya makin tunduk, tak berani mengangkat muka. Tersentak dengan kata-kata ustaz.

Apa masalah awak? Kalau awak rasa kerja yang awak nak buat itu lebih penting, tak apalah. Ma’aki hak. Ustaz tahu awak dah pergi sem lepas. But I want your contribution to guide your sister. Ini bulan korban Maryam. Student ni kadang-kadang dia lupa, that why I have to remind you. Macam mana? Anti fikirlah. Ustaz tak paksa. Perlahan-lahan saya angkat muka. Sini, saya tulis nama saya ustaz.

Saya seperti anak kecil ditegur ayah. Serabut hati saya terbang. Saya seperti rasa ‘ditempeleng’ dan ia menjadikan saya normal kembali. Syukur. Tuhan masih menghadirkan insan-insan terbaik buat saya. Memang saya seperti hilang arah selepas habis exam. Sukar menyusun jadual yang efektif. Benar kata ustaz. Saya tidak bekerja dengan ‘main switch’ kerana itu saya hilang arah. Saya terlupa menyerahkan urusan hidup pada Dia yang Maha Tahu. Saya merancang dan merancang, berharap dan menyulam azam. Tapi saya gagal bertawakkal penuh pada Tuhan. Saya kata saya serahkan urusan pada-Nya tapi sebenarnya tidak. Saya masih ragu. Saya bertanya-tanya.

Pagi Jumaat yang indah ini saya mahu memuhasabah diri. Bagaimana mahu menyerahkan urusan pada Tuhan? Bagaimana untuk jadi yakin seperti yakinnya Hajar pada Tuhan waktu ditinggal sendiri bersama anak kecil di tengah padang pasir kontang. Saya Maryam. Kata emak, dia mahu saya jadi sabar seperti Maryam. Kuat juga saat sendirian melahirkan Isa a.s. Juga jadi taat dan solehah sepertinya. Hati saya barangkali terlalu sibuk dengan dunia hingga tak merasa lazatnya ibadah. Ihdina Ya Rabb.

Pesan buat hati: Setiap perbuatan yang lahir dari hati akan mudah mengetuk hati.
Baca seterusnya..

MALU SEORANG PEREMPUAN

Dari Ibn Majah, sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya bagi setiap agama itu, akhlak tertentu. Dan akhlak Islam adalah sifat malu. Menelusuri buku Qisas al-Quran al-Karim tulisan Dr Fadl Hassan Abbas, saya tertarik dengan kupasan beliau pada ayat di bawah waktu membawakan kisah Musa bertemu dua orang perempuan; anak kepada Syeikh Madyan di dalam al-Quran:
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا
"kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu(malu) sambil berkata:" sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami".

Ulas beliau, malu itu hiasan seorang perempuan.

Pada ayat ini, ada 2 cara waqaf(berhenti) :

1)فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي . Kemudian mula kembali dgn membaca عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ ( dalam keadaan tersipu-sipu(malu) dia berkata )
~ Waqaf begini menunjukkan sifat malu waktu berkata-kata~
atau

2) فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ (berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu)
Kemudian mula kembali dgn membaca قَالَتْ إِنَّ أَبِي
~Waqaf begini pula menunjukkan sifat malu waktu berjalan~

Dr Fadl menyimpulkan: kedudukan kalimah(عَلَى اسْتِحْيَاءٍ) di antara dua kalimah (تَمْشِي)dan قَالَتْ memberikan gambaran bahawa sifat malu pada seorang perempuan baik-baik itu harus ada pada perkataan dan perbuatannya.


Waktu bicara tentang ayat ini bersama seorang teman saya, kami sama-sama termenung menopang dagu dan tergelak malu sendiri berkata; haya nisaii(malu seorang perempuan) itu tidak begitu ada pada kita, ya. Bagaimana gambarannya ya? Ngak pa pa, masih ada sifat pemalu itu pada diri kita kan, bilang teman saya, Cut gadis Acheh yang sangat percaya diri dan mandiri. Yang penting kan malu yang dasarnya iman. Malu untuk berbuat munkar dan maksiat yang dilarang Tuhan.

Benar, seorang perempuan itu ada aturan bagaimana mahu menuturkan kata di hadapan lelaki ajnabi, juga bagaimana seharusnya tingkah laku perbuatannya. Al-Quran telah mebentangkan manualnya dan tajribah hidup sudah membuktikan akibatnya jika seorang perempuan( lelaki juga) tidak patuh pada manual itu. Malu itu perisai. Seperti sifat takut juga. Harus ada dalam diri semua kita perempuan supaya lebih hati-hati menjaga diri. Tapi tetap ada peratusnya. Tidak boleh berlebihan malu atau takut. Seperti garam dalam masakan. Biar cantik, tampak enak menyelerakan, tanpa garam, selera jadi mati. Terlebih garam, begitu juga.

Syeikh Hassan dalam kuliahnya tentang malu menyebut Haya' (malu) menurut Ibn Qayyim daripada hayat(hidup). Hujan / al Matar dipanggil haya kerana apabila Allah menurunkan hujan, ia menghidupkan bumi yang mati. Begitulah Allah menghidupkan hati dan ruh dengan malu. Malu akan membuat kita meninggalkan perkara-perkara buruk samada dari segi percakapan, perbuatan atau akhlak dan mengelakkan kita daripada terkurang daripada melaksanakan hak kepada yang berhak.

Malu menurut beliau terbahagi kepada dua bahagian:

1) Malu Fitrah/Jibilliyy/Gharizi
contoh malu jika tidak berpakaian di hadapan manusia. Malu fitrah ini kalau diperhatikan semkain hilang daripada manusia.

2) Malu Iman/Muktasab
diperolehi jika kita kenal Tuhan kita. Tidak akan lahir kecuali kita merasai bersyukur atas nikmat Allah dan merasa kekurangan atas hak-Nya yang tidak kita penuhi. Dengan segala nikmat yang Tuhan beri, maka kita akan jadi malu sendiri pada Dia yang telah memberikan segalanya kepada kita. Malu ini akan dapat kita perolehi dengan ketaatan kita kepada Allah.

Lihat bagaimana Allah Yang Maha Mengetahui dan Melihat segala amal perbuatan, mengetahui segala dosa kita tapi Dia tetap melindunginya, tidak memperlihatkannya pada manusia lain. Memikirkan ini, saya kira, kita harus jadi sangat bersyukur. Betapa kitalah manusia yang selalu lalai dan leka, alpa terkadang hingga tak terlepas daripada berbuat dosa. Tapi Tuhan masih sangat menyayangi kita. Sangat...! Dosa itu kekal antara Dia dan kita. Allah tahu kita tak kan tertanggung malu jika ia terdedah kepada manusia. Ya Rabb, Allahummas turna wala tafdahna. Allahummar zuqna hayaan.( Ya Allah tutupla rahsia kami dan janganla engkau dedahkannya, Ya Allah kurniakanlah kami sifat pemalu) .

Bagaimanakah praktikalnya sifat malu itu? Dan apa pentingnya malu itu? Malu akan menjadikan kita anak yang hormat pada orang tua, hamba yang merendah diri daripada sifat tamak, riya'. Akan mengelakkan kita daripada berbuat yang haram tak kira dari segi apa, makan, berfikir, melakukan...Malu untuk tidak menyempurnakan tugas dan kewajipan seperti yang sepatutnya. Begitu malu itu menjadi perisai kerana malu itu satu bahagian daripada iman.

Hari ini, saya mahu mengatakan kepada diri saya, seorang perempuan; sesungguhnya hiasan terbaik seorang perempuan adalah sifat malu. Aduh,serasanya Syaidina Uthman itu beribu kali pemalunya daripada saya.
Baca seterusnya..

Mati itu Pasti

Kematian itu pasti. Yang masih tidak pasti adalah keyakinan kita pada sebuah kematian, pada suatu waktu yang kita tiba-tiba bangun dan melihat berada di tempat lain.

Jangan tanya saya adakah kubur itu luas atau sempit atau bagaimana. Saya tidak tahu itu. Yang saya tahu hanya ingatan Nabi s.a.w tercinta; kubur itu samada akan jadi taman daripada taman-taman syurga atau lubang daripada lubang-lubang neraka.
القبر روضة من رياض الجنة، أو حفرة من حفر النار
Amal kita nanti yang akan memilih; taman syurga atau lubang neraka.

Kata kubur setiap hari:
Aku rumah yang sepi, jadikan bacaan Quran temanmu,
Aku rumah yang gelap, terangilah dengan melazimi solat malam,
Aku rumah yang penuh dengan tanah , bawalah amal soleh sebagai tilam hamparan,
Aku rumah ular berbisa, bawalah amalan Basmallah sebagai penawar,
Aku rumah si penyoal Munkar dan Nakir, maka banyakkan bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah", supaya mudah kamumenjawab soalnya
Setiap kali kita melawat orang meninggal, sering kita bacakan Yasin atau kita mendengar orang membaca Yasin. Lalu apakah peringatan dalam Yasin itu jatuh ke hati kita?
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ 12.
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ
51.dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَن بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا هَذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ 52
(pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! siapakah yang membangkitkan Kami dari kubur tempat tidur kami?,, (lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh rasul-rasul!,
Ahh, alangkah bahagianya kalau kita yang bergelar penghuni syurga:

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ 55.
Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِؤُونَ 56
mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ 57.
mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

سَلَامٌ قَوْلًا مِن رَّبٍّ رَّحِيمٍ 58.
(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Tapi ya, sebelum ke syurga harus masuk court dahulu untuk dibicarakan. Siapa yang akan jadi saksi amalan kita?

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ 65
pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
Justeru, dari setitik air mani asal kita, sangat kecil di mata Tuhan, lalu kita mahu derhaka padaNya? Dan segera lupa yang Dia, Tuhan yang Maha Berkuasa mampu menghimpunkan tulang belulang kita dan menghidupkan kita kembali!

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ 77
tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلْقَهُ قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ
78. Mereka mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan mereka lupa keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?"

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ 79
katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan ia Maha mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
Kata pepatah arab: Kafa bilmauti wa’izan- Cukuplah mati sebagai peringatan.
Kita punya anak soleh yang boleh mendoakan? Atau ilmu yang telah dikongsi untuk dimanfaatkan orang lain atau sedekah jariah yang bakal jadi bekal saat berseorangan bertemu Tuhan…
Ayuh kita hitung apa yang mampu kita bawa kalau kita dipanggil pergi sebentar lagi..
Akhirnya, saya mahu kongsikan kata Ad-Dhahhak, seorang ahli tafsir yang dipetik dari buku HAMKA, Lembaga Hidup:
“Yang bernama hidup bukanlah nafas yang turun naik. Karena tidak sedikit orang yang nafasnya turun naik tetapi dia mati. Dan tidak sedikit orang yang nafasnya sudah berhenti turun naik, tetapi dia masih hidup, lantaran akalnya.”
**************************************************
Dedikasi untuk sahabat; Khadijah dan Ramadan; sungguh kalian akan rindukan syurga kerana sudah ada yang menunggu di sana…sungguh kalian insan pilihan untuk tetap dekat dengan Tuhan lantaran ujian yang hadir. Sungguh, perpisahan itu pahit tapi kasih Tuhan akan selalu bersama hambaNya yang redha dan selalu yakin serta percaya pada Qada’ Qadar Tuhan.
Baca seterusnya..

Cinta,Love, الحب

Gantikan secawan kopi hitam ini...

Ia bukan segala-galanya. Yang cantik, indah, handsome dipandangan belum tentu yang terbaik. Yang Nampak menyelerakan, menggiurkan belum tentu baik dan sedap bila dimakan. Begitu mata mudah tertipu. Justeru ada timbangannya dalam hidup ini bila mahu menilai sesuatu.

Tertarik dgn cerita Dr Komar semalam. Dalam satu majlis beliau ditanya tentang hak/right? Kata Dr, beliau tidak berminat untuk turut serta menuntut hak wanita seperti yang diperjuangkan sesetengah wanita . Rakan yang bertanya, seorang non muslim memperlihatkan kehairanan. Ya, menurut mereka kan, wanita Islam tidak mendapat hak yang sepatutnya. Segalanya didominasi oleh lelaki. Ya..kerana Quran menurut mereka ditafsir dari kaca mata seorang lelaki. Bukankan hampir semua kitab-kitab tafsir muktabar ditulis oleh lelaki. Kata Dr, dalam Islam kami sudah mendapat hak kami. Yang sesuai dengan keperluan kami. Dan ia sangat adil kerana yang menentukan hak itu tidak lelaki mahupun perempuan. Ohh? Terperanjat dia yang bertanya. Tuhan kamu bukan lelaki? Bukan. Tidak lelaki, tidak juga perempuan. (lelaki ini masuk Islam kemudiannya, tidak silap saya ).

Apa kaitan cerita Dr Komar dengan tajuk cliché saya? Tiba-tiba bercakap tajuk ini. Ya, segalanya terhubung akhirnya dengan Sang Pencipta. Setiap sesuatu, buruk baik itu ukurannya pada Dia, seperti yang telah diperintah Dia, seperti yang sudah dimaktubkan dalam Quran, kalam-NYa. Bukan ukuran bagus dan baik itu pada tangan kita, manusia yang cepat berubah hati. Cepat terpesona dengan manisnya kata, tulusnya bahasa, indahnya budi. Lebih lagi saat ‘cinta’ yang sudah dibilang orang banyak kali; buta ,itu jadi teman setia. Lalu yang ada Cuma cinta. Tidak lain. Quran waktu menerangkan saat Zulaikha mabuk cinta pada Yusuf menggunakan perkataan [qad syarofaha hubba). Syaghofa itu maksudnya hatinya dipenuhi, ditutupi, gelap dengan cinta hingga tak mampu berfikir selainnya. Bagaimana mahu menerima selainnya, kalau tidak ada lagi ruang untuk diberi tempat kata nasihat dan pedoman.

Justeru selalu pepatah bilang, kalau cinta, jangan sepenuhnya, benci juga begitu. Beri ruang untuk yang lainnya. Supaya kita tidak jatuh bersama-sama si buta bernama cinta dalam perigi yang memang tak bermata. Saat sudah jatuh jangan rasa dunia seperti sepi. Perigi buta memang bukan tempat diamnya manusia yang boleh dibawa bicara. Merasa dunia sepi, hati kosong..i’m empty…rasa seperti mahu mati, bukan kata yang selayaknya untuk seorang Muslim kan., seperti kita tiada Tuhan buat mengadu. Sedih itu biasa. Merasa patah hati itu normal. Manusia kan kita. Tapi berlama-lamaan dalam ‘kekosongan’ dan melayan kesepian itu yang salahnya. Apa Tuhan sengaja mencipta kita untuk diberi masalah? Tidakkan…? hidup ada matlamatnya. Masalah itu ujian; mahu menjadikan kita tambah kuat atau mahu menguji tahap sabar dan iman kita. Justeru kembalilah merenung matlamat hidup. Matlamat hidup Muslim, kemudiannya, cita-cita kita sebagai manusia yang penuh impian dan keinginan juga harapan manusia berjasa, ayah bonda. Teruskanlah hidup.

Kalau sesuatu itu baik, Tuhan pasti melorongkannya biar susah. Serahkan urusan kita pada Dia. Kalau memang bukan untuk kita, belajarlah untuk redha atas ketentuan-Nya. Sekali lagi…Dia, Tuhan yang mencipta lebih tahu yang terbaik untuk ciptaannya.
Untuk adik-adik yang baru berkenalan dengan ‘cinta’, saya titipkan pesan…Jangan dibutakan mata hati dengan kasih sayang manusia’ asing’ dalam hidup kita hingga kita hilang peduli pada kasih manusia setia bernama keluarga yang tidakkan pernah boleh mengucap kata; kita putus, aku ceraikan kau, setakat ini shja hubungan kita. Tidak.

Susah, memang susah kalau perlu melupakan. Kerana yang ada cuma rasa mahu memiliki. Saya kongsikan pesan seorang guru sejak saya di tingkatan dua. Kalau suka seseorang, buat solat hajat.mohon pada Allah, kalau dia milik kita, mohon Allah simpankan(kalau belum masanya) dan jaga hati dia untuk kita. Kalau bukan, minta Allah campakkan jauh-jauh rasa cinta kita pada dia. Cubalah, saya rasa keberkesanannya. Kita memang tak kuat untuk mengharunginya sendiri tapi itu tak bermakna mati itu lebih mudah dan berhadapan dengan munkar nankir sendiri itu mudah. Kalau mahu menangis, silakan…kerana tangisan bukan tanda lemah bagi saya. Tapi ia tanda yang kita akan bangkit kembali, setelah pergi segala yag terbuku bersama air mata tadi. Sekian.


dengan segelas air putih ini. Baca seterusnya..

Sebaiknya, Sepenuhnya, Sesungguhnya

Sarah muncul, seperti biasa; cepat dan pantas menuju ke arah saya di bilik Kak Jannah. Kak Jannah merungut marah kerana lama tidak bertemu. Sarah mengaju sebab, mengunjuk kakinya yang bengkak. Terseliuh katanya. Dua hari terbaring diurus teman senegara yang baik hati, Anam dan teman baru yang baru beberapa minggu tiba dari Banglore. Tambah becok mulut Kak Jannah, membebel marah kerana Sarah tidak memberitahu. Harus, dia diberitahu agar boleh membantu. Sarah menjawab, tidak mahu menyusahkan. Kak Jannah tarik muka. Dia harus tahu. Dia adik. Sarah mempertahan sikapnya. Kak Jannah membalas. Saya di tengah melihat, tergelak. Sangat lucu melihat kedua-dua teman berperang mesra. Saya katakan pada Sarah, awak tahu apa yang mahu saya buat sekarang? Mahu melukis wajah awak berdua. Sangat menyenangkan bersama keduanya. Kakak-kakak saya yang sangat peramah dan banyak mulutnya. Sarah, ibu anak satu dari India dan Kak Jannah, beberapa tahun lebih tua dari saya, gadis Acheh yang rajin dan kuat semangat.



Sarah datang dengan kaki yang masih sakit. Sudah kurang, tak mengapa, katanya. Saya kesal tidak mengetahui kondisinya hingga dia sanggup bersusah payah bertemu saya di bilik Kak Jannah. Cepat sahaja dia mmbaca baris demi baris dan membetulkan kesalahan tatabahasa assignment saya. Memang dia persinggahan akhir saya sebelum tugas-tugas kuliah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris diserah kepada pensyarah. Sangat senang membantu biar sibuk. Saya selalunya tidak menunggu lama kalau berurusan dengan Sarah. Kerjanya laju, cepat. Dia juga kakak yang baik. Tempat saya mengadu dan menangis bila sesuatu hal menimpa terutamanya yang berkait dengan hati. Hehe. Selalu bicaranya menenangkan dan mendewasakan saya. Saya senang dengan sikap terus terangnya dalam banyak hal. Kalau salah dikata salah, kalau betul disokong.



Kak Jannah juga begitu. Mungkin kerana saya jauh lebih muda, saya jadi manja dan lebih senang mendengar berbanding apabila bersama teman-teman yang sebaya atau lebih muda. Saya akan jadi kakak yang becok dan garang. Saya bahagia, bersyukur dianugerahi sahabat-sahabat terbaik di sekeliling saya.



Semalam, saya memanggil seorang adik dari Sudan bertemu saya secara personal. Dia satu-satunya pelajar antarabangsa dalam kelas Halaqah saya yang berjumlah 45 orang. Selain untuk cover kelas yang tidak dihadirinya, saya mahu berbicara mendengar pendapatnya tentang Malaysia. Dia tersenyum bila saya ajukan soalan. Saya rasa sangat asing pada minggu-minggu pertama saya, katanya. Rakan-rakan Malaysia seolah-olah cuba mengelak untuk bersama kami dalam satu kumpulan apabila perlu kepada kerja-kerja by group. Asing, ya. Budaya kami biasanya memuliakan tetamu. Tapi di Malaysia, anda seperti tidak dialu-alukan. Mungkin kerana imej tidak baik yang dipaparkan pelancong-pelancong Arab terutamanya dari Negara Teluk yang berkunjung ke Malaysia untuk bercuti. Kawan-kawan dan pensyarah menganggap kami yang datang dari keluarga yang kaya. Mereka tidak tahu, kos hidup dan belajar di Malaysia sebenarnya lebih murah berbanding di Sudan.



Saya angguk, mengakui memang ramai rakyat Malaysia yang punya tanggapan buruk kepada warga Arab tanpa membezakan dari mana mereka. Arab adalah Arab, sama semuanya. Mungkin kesan pengalaman menunaikan haji di Mekah atau belajar di Timur Tengah maka, cerita-cerita buruk itu dikongsi dan jadi bahan rujuk ramai orang. Arab kasar, suka duit, gatal dan banyak lagi. Tambah buruk lagi dengan paparan media beberapa bulan lalu soal perkahwinan dengan warga Arab yang banyak menemui kegagalan. Emak saya pantas menelefon apabila keluar kenyataan seorang menteri di Jab Perdana Menteri, mantan pensyarah UIA tentang ini. Tentang ramai pelajar UIA yang jatuh cinta dengan pensyarah atau pelajar Arab. Emak saya menekankan, itu, Dr tu dah bagi statistik. 10 dari 12 pasangan yang berkahwin dengan warga Arab menemui kegagalan. Saya tak salahkan emak. Tapi panas hati dengan kenyataan yang pada saya masih boleh dipersoalkan. Perkahwinan campur memang sukar. Saya akui itu. Tapi itu tak bermakna kita boleh mengatakan ia adalah perkahwinan paling mudah menemui jalan buntu dan berakhir dengan perceraian. Cuba tengok statistic perceraian di Malaysia, menggigil badan melihatnya.



Saya bukan mahu memenangkan sesiapa. Saya cuma mahu berkongsi apa yang saya dengar, lihat dan rasai. Saya kira warga melayu Muslim UIA harus belajardan berusaha membina dunia Islam kecil yang harmoni, tenang dan menyenangkan. Ini bukan kali pertama saya menerima komen dari teman-teman antarabangsa saya. Kita memang gagal dalam bab memuliakan tetamu seperti warga Arab memuliakan tetamu tetapi dengan sedikit santun, budi bahasa dan lembut hati kita, saya kira kita warga Malaysia mampu menjadi rakan yang baik. Entah, apa kerana kita masih sangat pemalu untuk bertegur sapa membina jaringan atau kerana kita tak merasa perlu membina ukhuwah atas dasar iman dan Islam yang kita kongsi bersama. Sukar kan menyambut pesan baginda Rasul s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia menyintai saudaranya seperti menyintai dirinya sendiri (Riwayat Bukhari & Muslim).



Memulakan perkenalan pun kita malas, apa lagi mahu menyintai dan menjadi seperti Ansar kepada Muhajirin. Ya, kita menjadi sangat berkira dengan masa untuk membina sesebuah perhubungan, berkira dengan apa yang kita miliki. Sukar untuk berkongsi. Saya masih belajar memahami hadith itu. Tidak mudah mempraktikkannya. Saya pernah menerima sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya. Namun, saya belum mampu memberi sebaiknya, sepenuhnya, sesungguhnya..

Nota: Sarah lebih tua dari Kak Jannah. Tapi kerana dalam Bahasa Inggeris tidak ada panggilan khas tanda hormat pada seseorang yang lebih tua, maka saya terbiasa memanggil Sarah dengan nama sahaja. Kak Jannah kerana dia juga Melayu, maka gelaran kak itu melekat hingga ke tulisan ini..


Baca seterusnya..

Syawal; Ziarah dan Puasa Enam



Jemputan Rumah Terbuka mula menghujani. Sukar juga memenuhi sebahagiaannya atas faktor pertindanan, masa atau jarak. Syawal, memang bulan merapatkan ukuwah, buat menautkan kembali hati-hati yang terasa jauh biar atas apa sebab pun. Sungguh, ruang untuk saling bermaafan dan menghubungkan silaturrahim ini tidak harus dipandang enteng.

Saya teringat waktu kecil-kecil dahulu kalau beraya di rumah nenek di Melaka. Nenek punya satu peraturan. Hari raya, kami tidak dibenarkan duduk di rumah. Wajib pergi berziarah. Selepas habis rumah-rumah saudara terdekat kami ziarahi bersama keluarga, saya dan sepupu akan bertandang rumah demi rumah sehingga habis satu kampung (kami sbt; habis satu Ganun-kg nenek saya). Memang, kita sangat teruja menyambut hari raya waktu kecil dahulu kerana habuan duit raya. Tapi saya tak nafikan, peraturan nenek itu banyak mendidik, mengenalkan dan membiasakan kami dengan saudara mara jauh. Kami memang tidak memperkenalkan nama masing-masing. Selalunya orang kampung akan tanya- ekau anak sapo? Maka menjawablah kami. Cucu Nenek Kimbok ngan Tok Jenal, anak Senab(emak saya tidak dikenali dengan nama Ramlah di kg). Sepupu saya yang lain juga; anak Somah, anak Kosum, anak Sonah.

Apabila dewasa, saya jadi marah apabila adik-adik lebih mementingkan tidur atau tv berbanding ikut berziarah ke rumah saudara mara atau teman-teman terdekat emak ayah. Memanglah, kita akan jadi bisu. Tapi kita akan belajar. Penting mengenali mereka-mereka ini. Saudaralah tempat mengadu susah di kemudian hari atau tolong meringankan beban atau paling tidak memeriahkan kenduri di rumah kita nanti. Teman-teman ibubapa pula, bukankah Rasul s.a.w berpesan untuk berbuat baik kepada teman-teman ibubapa apabila ketiadaan mereka? Lalu bagaimana kalau kita tidak mengenali mereka?

Justeru, sambut dan hidupkanlah semangat Syawal ini dengan ziarah tanpa terlupa menyusun hari untuk puasa enam dan puasa qada'. Untuk saya, saya cenderung kepada pendapat yang mendahulukan puasa 6 daripada puasa qada' selaras dengan apa yang dipraktikkan oleh Syaidatina 'Aisyah sebagai usaha untuk merebut pahala puasa 6. Ini kerana puasa ganti ini adalah wajib muwassa' iaitu, panjang waktunya. Namun, ada pendapat yang membenarkan digabungkan kedua-dua puasa. Iaitu niat puasa qada dan moga-moga Allah mengira sekali pahala puasa enam.

Bagaimana ya, prestasi amal kita Syawal ini dan seterusnya selepas graduate daripada madrasah tarbiah Ramadan. Saya akui, penangan kesibukan hari raya sedikit sebanyak mejadikan paras prestasi amal merudum teruk. Stamina juga menurun. Kalau ada sedikit sesal di hati atas kelalaian ini,teman, ayuh...kita semarak dan kobarkan ia kembali. Moga tak tersia latihan sebulan penuh Ramadan. Doa untuk saya, untuk anda juga. Salam Eidilfitri.
Baca seterusnya..

Eid Mubarak



Taqabbalallah minna wa minkum. Selamat Hari Raya Eidulfitri.

Macam-macam yang berlaku hari raya ini. Sebelum dan selepas. Begitu Tuhan mendidik manusia terhadap sesuatu. Diberikan ujian untuk muhasabah bagi yang menerima musibah juga untuk manusia di sekitarnya sebagai 'ibrah.

Tak naklah cerita sedih dulu, tak seronok dengan semangat Aidilfitri. Ni gambar-gambar raya. Tahun ni beraya di Rengit. Hampir semua adik beradik ayah pulang. Nenek yang duduk di KL juga balik kampung.Hehe. Tapi lepas adik accident, raya ketiga, kami balik Melaka kampung belah emak juga.
Untuk adik-adik yang masih tak kenal dunia, belajarlah dari kesilapan. Orang Mukmin itu tidak jatuh pada lubang yang sama dua kali. Dan kesilapan terbesar adalah tidak merasa bersalah atas kesalahan yang dilakukan. Ingat, redha Allah pada redha ibubapa. Jangan mengundang murka Allah dengan marahnya ibuayah kita. Masa muda memang gembira...segalanya tampak indah dan manis. Beringatlah sebelum datang pesan kedua dari Tuhan.

Kasihnya ibu...membawa ke syurga

Kasihnya ayah sepanjanglah masa...


Baca seterusnya..

Kembalikan, dengan kuasaMu, Tuhan

Aku sudah jadi bisu
Hampir putus asa kalau
Bukan akur pada ingatan Tuhan
tentang rahmatNya yang maha luas

Untuk dia,
Aku benci mahu merayu memohon
Meminta tolong
Kerana dia tidak layak untuk itu semua
Orang yang layak adalah orang yang punya
sesuatu untuk dikongsi

Aku tidak tahu
Apa dia masih punya walau sekeping hati
Buat mengasihi seorang ibu yang sudah acap bermain air mata
Yang hambur dan marah masih dibalas kasih tak terjangkau dalamnya
Buat menyayangi ayah yang tak pernah terbang sabarnya
Biar bentak dan baran menambah sakitnya
Cuma disambut dengan hela nafas dan geleng lemahnya
Buat mengasihani si kecil naïf yang hanya tahu menghambur tangis
Atau menyimpan sendu kerana suaranya dilarang kedengaran biar sesekali mahu menunjuk
Yang dia cuma anak kecil..tangis itu biasa, mahu memancing perhatian

Untuk dia,
Aku…sudah tidak punya hati untuk kasihan
Berilah aku seribu alasan…
Sedang masa sebenarnya sudah lama memberi ruang
Aku sudah tuli mahu mendengar azam demi azam
Kerana mata cerah ini tidak pernah melihat tindakan dan perubahan

Biar kali ini kau kata aku kejam
Aku mahu jadi lebih dari itu
Kerana yang zalim memang harus dihukum
Yan tidak tahu berpegang pada janji
Yang sombong memahami amanah ILahi
Yang angkuh untuk kembali…

Kerana aku cuma seseorang yang gagal juga
Mahu menghalang segalanya dengan kuasa atau suara
Yang aku punya cuma sekeping hati
Yang saban hari meronta mahu berkata
Tapi yang keluar hanya air mata tanpa bunyi
Dalam tunduk dan rafa’ tanganku pada DIA pencipta ‘dia’

Mahu bagaimana aku, Tuhan,
aku hilang kalam mahu berdoa
Bukan azab yang aku pinta tapi
Kasihanilah ya Tuhan…
Ibuayah yang setia dan pemurah kasih itu
Si comel yang tidak pernah mengharap lahir
untuk dibumbu sukmanya dengan duka

Untuk mereka ini, Ya Tuhan…
Aku menyerah dan pasrah
Bagi segala sesuatu buat ‘mendidik’ dan melorongkan jalan ….
Untuk dia.

Dan dengan sisa kasih ini, Tuhan,
Aku menyembah hina…
berlemah-lembutlah pada apa yang Kau takdirkan
Aku bukan mengharap dia pergi…tapi kembali
Pulang..ke jalan Tuhan.
Tinta tanpa mutiara
1216 290909
Baca seterusnya..

Pecutan Akhir


Kita berada di minit-minit terakhir. Ini waktu untuk benar-benar pecut. Atau, kita mungkin menyesal kerana tertinggal dari kejuaraan piala taqwa setahun sekali ini.

Apa ya yang harus ditambah lagi di hujung Ramadan ini. Harus berusaha untuk tambah khusyuk dalam solat fardu. Harus memaksa diri melakukan solat sunat di setiap solat fardu. Juga berusaha untuk tidak tertinggal tarawih. Juga menyempatkan diri untuk bangun solat malam. Kalau tidak larat, dua rakaat sebelum sahur atau paling kurang kata ustazah, ambil wudu', duduk sebentar; istigfar dan berdoa.

Apa lagi? Sedekah. Kalau rasa tak berjumpa dengan mana-mana orang yang layak diberi sedekah, anda yang menggunakan perbankan elektronik, boleh sahaja klik kepada rumah-rumah kebajikan yang disediakan oleh sistem bank anda. Mudahkan? Atau, hulur sahaja RM1, 2 sambil menitipkan satu dua pesan yang muluk-muluk pada anak-anak kecil yang ikut serta tarawih. Anak-anak itu pasti gembira dan menggembirakan hati orang kan satu yang dituntut hatta senyuman-تَبَسُّمُكَ فِي وَجْهِ أَخِيكَ لَكَ صَدَقَة,senyummu kepada saudaramu itu sedekah. Dan untuk kaum wanita yang 'dicutikan' pada hari-hari akhir ini, mungkin boleh lebih rajin memasak dan sedekah kepada jiran tetangga atau belanja sahaja sesiapa makan. Tak perlu ramai,yang termampu. Biar seorang.

Lagi? Kalau ada kesempatan i'ktikaf, terutamanya yang lelaki, harus cari peluang itu. Perempuan, kalau ada peluang, boleh sahaja tapi kalau mahu di rumah juga lebih baik untuk perempuan. Cuma khaskan satu tempat untuk kita i'ktikaf dan niat sahaja. Kalau mahu jadikan acara tahunan keluarga, lebih baik. Seorang ibu memberitahu saya, memandangkan mereka tidak punya kampung, acara i'ktikaf adalah program tahunan keluarga yang ditunggu-tunggu. Beliau akan survey, cari masjid yang sesuai, kemuadian mereka sekeluarga akan beriktikaf, biasanya pada hujung Ramadan, waktu orang sibuk packing barang dan balik kampung. Menarik, kan.

Quran memang pastinya sesuatu yang tidak harus ditinggalkan. Harus terus intim dengan kalam Tuhan ini. Mungkin sekarang, sudah boleh berkira-kira, merancang bagaimana kita mahu diri kita selepas Ramadan. Azam..azam itu perlu awal, harus selalu diingatkan, diulang-ulang ke dalam diri supaya stamina Ramadan masih kekal ketika Syawal dan bulan seterusnya, kalau kurang pun, mungkin sedikit kerana persekitaran seperti Ramadan tidak ada lagi. Yang penting, tidak hilang terus. KUn Rabbaniyyi wa la takun Ramadaniyyi. Kita bukan hamba Ramadan kan, kita hamba Dia.

Untuk akhirnya, mari sama-sama mengajak diri beramal. Ya, semampunya. Islam tidak memaksa sehingga kita terlalu bersusah-susah tapi jangan sampai terlalu lewa.

Moga bertemu Lailatul-Qadr. Banyakkan doa dan rintih di 10 yang terakhir ini. Kalau ada ingatan, selitkan nama saya dalam doa anda. Juga untuk saudara seIslam yang lain. Ooo..selitkan nama-nama yang anda sayang dalam doa..mahu dia berubah? Mahu dia pakai tudung? Mahu dia jadi lebih sabar, kurang barannya. Juga untuk pemegang kuasa. Hati mungkin terasa sakit, lebih banyak mahu menyumpah dari memuji. Tapi atas barakah Ramadan, tak salah kita melembutkan hati, menitipkan doa, moga mereka dipandu Tuhan, tidak nanar membuat keputusan.
Baca seterusnya..